Receive up-to-the-minute news updates on the hottest topics with NewsHub. Install now.

Keenakan tuntul dimasak lemak cili api

23 Julai 2018 1:42
355 0

Kuala Penyu: Jika di Semenanjung dipanggil siput sedut namun di Sabah ia lebih dikenali sebagai tuntul yang mudah ditemui di sungai, laut dan pantai paya bakau.

Tuntul yang menjadi sumber pendapatan sampingan bagi penduduk setempat, lazimnya boleh ditemui di sekitar daerah Kuala Penyu, Membakut dan Beaufort.

Antara lokasi popular menjadi pilihan pencari tuntul, khususnya dalam kalangan penduduk di Membakut ialah pantai Palu-Palu, pantai Pimping dan pantai Kuala Binsulok, manakala di Kuala Penyu lokasi tumpuan ialah di pantai Purun.

Tinjauan di sekitar pantai itu mendapati penduduk mengutip tuntul untuk dijadikan hidangan seisi keluarga, selain dijual kepada penggemar siput berkenaan.

Pencari tuntul, Mimonah Ismail, 58, berkata hidupan bercengkerang itu begitu popular dalam kalangan masyarakat setempat di tiga daerah terbabit kerana mudah didapati, selain rasa isinya yang manis apabila sudah dimasak.

Katanya, tuntul bukan makanan laut bermusim, malah boleh diperoleh sepanjang masa, namun ia lebih banyak ditemui apabila musim tengkujuh dan cuaca berangin.

“Saya selalu ke sini bersama sepupu untuk mencari tuntul sebagai sumber pendapatan tambahan tetapi hanya datang dua hingga tiga kali sahaja dalam seminggu disebabkan turut bekerja sebagai pelayan restoran di pekan Kuala Penyu.

“Mengutip siput ini juga tidak mengambil masa lama kerana ia memang mudah didapati di kawasan pantai, malah satu atau dua jam sahaja kami boleh kumpul sehingga berbelas kilogram tuntul,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Musli Mail, 61, berkata dia menjual tuntul di pasar Kuala Penyu dengan harga RM2 bagi satu plastik atau RM15 satu baldi dengan anggaran berat 10 kilogram.

“Saya turun ke pantai mencari tuntul hampir setiap hari seawal jam 6 pagi hingga tengah hari bersama isteri atau beberapa rakan. Tuntul boleh dikutip di tepi pantai tetapi sekiranya mahu dapatkan hasil lebih banyak, kita terpaksa masuk ke dalam laut ketika air surut.

“Bagaimanapun, cabaran utama apabila mengutip tuntul adalah faktor cuaca tidak menentu. Kita sukar mencari siput ini ketika cuaca berangin atau hujan,” katanya yang mengutip dan menjual makanan laut berkenaan sejak lebih 20 tahun lalu.

Musli berkata, tuntul boleh dimasak dengan pelbagai cara, termasuk lemak cili api, masak kicap, kari dan sos tiram atau direbus begitu sahaja.

Katanya, siput itu enak dimakan bersama nasi putih atau dimakan begitu sahaja, namun sebelum memasak perlu membuang bahagian hujung tuntul supaya mudah mengeluarkan isinya ketika hendak dimakan.

Sumber: hmetro.com.my

Kongsi dalam rangkaian sosial:

Comments - 0