Receive up-to-the-minute news updates on the hottest topics with NewsHub. Install now.

Hospital Rembau dijangka siap Disember

11 Julai 2017 7:54
3 0
Hospital Rembau dijangka siap Disember

Pembinaan Hospital Rembau dengan kos RM108 juta dijangka siap sepenuhnya pada 29 Disember tahun ini.

Wakil Pegawai Penguasa Utama Pasukan Projek Khas (Bangunan) Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur Rohaya Abdul Mois berkata setakat ini kemajuan pembinaan hospital berkenaan berada ditahap 68 peratus.

"Kontraktor utama amat komited untuk membuat enam peratus (kemajuan pembinaan) sebulan...maknanya akhir bulan November dah siap dan ada sebulan lagi untuk kita buat ujian. Projek ini dari segi struktur siap mengikut tarikh kontrak iaitu 29 Disember 2017,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan tapak hospital itu.

Turut hadir Exco Pendidikan dan Kesihatan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli, Exco Modal Insan, Belia dan Sukan yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Chembong Datuk Zaifulbahri Idris dan Pengarah Kesihatan Negeri Dr Zainudin Mohd Ali.

Projek pembangunan Hospital Rembau dengan kapasiti 76 buah katil ini dibina di tanah seluas 19.4 hektar di Chembong, Rembau.

Hospital berkenaan kelak akan dilengkapi kemudahan terkini di dalam wad, wad bersalin, pusat Rehabilitasi dan dewan bedah.

Sementara itu, Dr Zainudin berkata dengan terbinanya Hospital Rembau telah menjadikan Negeri Sembilan satu-satunya negeri yang mempunyai hospital di setiap daerah.

Negeri Sembilan mempunyai tujuh daerah iaitu Tampin, Rembau, Kuala Pilah, Jempol, Jelebu, Seremban dan Port Dickson.

“Ini sekali gus akan membolehkan perkhidmatan kesihatan dapat diberikan dalam skop yang luas seperti wad bersalin. Jadi tidak perlu lagi ke Seremban atau Tampin untuk bersalin lepas ini dan (hospital ini) disokong oleh wad kanak-kanak, wad lelaki dan wad perempuan.

“Kita juga ada dewan bedah di sini yang jika ada pembedahan-pembedahan kecil, ia akan dapat dibuat di sini. Ini akan memudahkan pesakit di mana mereka tidak perlu lagi pergi ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban atau Hospital Kuala Lumpur, tetapi hanya perlu datang ke sini,” katanya.

Dr Zainudin berkata, hospital berkenaan juga turut menyediakan khidmat pakar yang akan mengadakan lawatan seminggu sekali atau dua kali dalam seminggu.

“Bagaimanapun, hospital ini dijangka mampu menampung 10,000 ke 20,000 pesakit luar dalam tempoh sebulan,” katanya.

Sumber: malaysiakini.com

Kongsi dalam rangkaian sosial:

Comments - 0