Receive up-to-the-minute news updates on the hottest topics with NewsHub. Install now.

ADUN dakwa kastam hutang PBT S'gor RM36 juta

04 Julai 2017 5:15
43 0
ADUN dakwa kastam hutang PBT S'gor RM36 juta

Seorang wakil rakyat DAP hari ini mendakwa kastam masih berhutang lebih RM36 juta jumlah tuntutan bayar balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) kepada 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.

Anggota Dewan Undangan Negeri Selangor (ADUN) Balakong Ng Tien Chee berkata jumlah hutang tersebut melibatkan tuntutan sejak September 2016 sehingga Jun 2017.

"Saya ingin bertanya bagaimana pula dengan jumlah GST yang kastam (peroleh) tetapi masih berhutang dengan 12 PBT dalam negeri Selangor sejak September 2016.

"Menurut maklumat yang diperoleh pada tahun 2016 sahaja, pihak kastam masih berhutang RM36,182,986.95 kepada 12 PBT dalam negeri Selangor," kata Ng dalam sidang medianya di Pusat Khidmat Serdang-Balakong hari ini.

Jumlah tuntutan tersebut, menurutnya, meliputi pembayaran bagi kerja-kerja infrastruktur seperti penambahbaikan jalan raya dan kerja-kerja melibatkan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris).

Ng juga menyelar kaedah GST dilaksanakan terhadap pihak berkuasa tempatan.

"Jadi, soalan kami kenapa kastam mahu menambahkan beban dan tidak meringkaskan kerja-kerja pegawai dengan menyediakan surat pelepasan cukai GST," soal Ng.

Malaysiakini sedang mendapatkan maklum balas pihak kastam berkaitan dakwaan itu.

Sumber: malaysiakini.com

Kongsi dalam rangkaian sosial:

Comments - 0